Nama Botani : Averrhoa bilimbi
Nama Lain : Belimbing asam
Famili : Oxalidaceae
Asal : Malaysia dan Indonesia
Pokok belimbing buluh atau nama saintifiknya Averrhoa belimbi linn dan berasal dari keluarga Oxalidaceae dan mempunyai nilai yang tinggi dari segi perubatan. Mudah dijumpai di kawasan kampung dan kawasan perumahan kerana pokok ini mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Buahnya boleh digunakan untuk berbagai-bagai tujuan.
Secara amnya, daun pokok belimbing buluh ini mempunyai dua jalur anak daun yang kecil dan tersusun rapi di kedua-dua belah urat. Anak-anak daun ini mudah gugur daripada tangkainya. Bunga belimbing ini berwarna merah dan pada kebiasaannya terdapat di bahagian batang pokok dan juga pada dahan-dahan yang matang.
Buah belimbing berbentuk kecil dan empat segi panjang, dan jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam. Buah yang hampir masak biasanya digunakan sebagai penyedap rasa, dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayuran tradisional, serta masakan seperti ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning. Buah belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir, terutamanya ikan-ikan darat (ikan air tawar). Oleh itu, buah ini sering digunakan untuk masakan orang Melayu dan orang Cina.
Herba Ubat
Ekstrak metanol daun pokok ini mempunyai sifat antibakteria terhadap Pseudomonas aeruginosa dan Staphylococcus aureus serta sedikit kesan terhadap Bacillus subtilis . Bagaimanapun, ekstrak itu langsung tidak berkesan terhadap bakteria lain seperti Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa dan Klebsiella pneumonia. Sebaliknya, pokok ini peka terhadap bakteria-bakteria ini.
Perubatan Tradisi
Belimbing buluh digunakan dalam perubatan tradisi moden. Secara tradisi, perubatan Melayu tidak kenal penyakit moden seperti kencing manis atau darah tinggi. Oleh petua-petua ini tidaklah berdasarkan mana-mana kajian moden atau amalan tradisi dan tidak terbukti keberkesanannya.
Jus buah ini dikatakan sebagai berkesan untuk melegakan penyakit darah tinggi, kencing manis dan pitam. Selain itu ia juga berkesan untuk melicinkan kulit muka serta mengatasi masalah jerawat dan merawat sakit gigi. Bagi mereka yang menghidapi batuk yang berterusan, adalah dinasihati merebus buah ini dan minum air rebusan ini setiap pagi dan petang.
1. Ia mengandungi banyak khasiat yang tidak ternilai. Daunnya apabila digiling halus dan dilumur boleh menghilangkan jerawat dan melembutkan kulit di muka, sakit-sakit sendi serta panau.
2. Jika direbus, ia boleh mengubati batuk, menurunkan tekanan darah tinggi dan pitam. Untuk menghilangkan batuk, campurkan segenggam bunga Belimbing Buluh dengan sedikit jus pegaga yang telah ditumbuk, 2 biji bawang merah dan 1 batang kulit kayu manis sebesar jari kelingking. Seterusnya direbus dan ditapis air rebusan itu. Kemudian minum dengan mencampurkan sedikit madu. Minum segelas, 3 kali sehari.
3. Untuk anda yang ada darah tinggi, petik 3 biji buah Belimbing Buluh. Potong kecil-kecil dan rebus. Minum air rebusannya selepas sarapan pagi setiap hari.
4. Untuk bayi yang diserang penyakit kuning, mandikan dengan air rebusan daun belimbing untuk meredakannya.
5. Bagi pengidap diabetic, untuk elak kekerapan kencing bangun malam boleh ambil 3-5 biji buah belimbing buluh + air kelapa muda dan dicampurkan secubit garam. Dikisar dan tapis, minum jus seminggu sekali sahaja.